Minggu, 19 Desember 2010

mengapa pertanian thailand maju

Utusan Malaysia – 17 Oktober 2009
Kenapa pertanian Thailand berjaya?
Oleh LAUPA JUNUS
RAKYAT Malaysia kadangkala terlupa bahawa
banyak produk pertanian yang dihasilkan anak
tempatan sebenarnya berkualiti. Apa yang
sering kali kedengaran ialah mereka teruja
dengan produk pertanian dari negara jiran di
sebelah utara iaitu Thailand.
Beras siam, mangga siam dan durian siam
adalah antara produk pertanian keluaran
negara itu yang kerap kali kita dengar.
Mengapa demikian? Adakah kerana produk
pertanian kita seperti durian dengan baka D24
dan sebagainya serta benih padi MR219 sebagai contoh, belum begitu berdaya saing.
Ada beberapa persoalan yang timbul dan ini dijawab jelas oleh seorang usahawan pertanian
yang juga Konsul Kehormat Diraja Thailand yang berpejabat di Langkawi, Datuk Shazryl Eskay
Abdullah.
Pada pertemuan dengan Mega di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau yang dilantik ke jawatan
tersebut pada 2004 berkongsi beberapa persoalan untuk direnungi bersama.
Antaranya, kenapa buah dan sayur Thailand lebih baik dan kenapa sayur negara berkenaan
mampu bersaing dalam pasaran eksport.
Persoalannya yang tidak kurang pentingnya ialah kenapa keluaran padi negara berkenaan
cukup berkualiti dan mampu memnuhi keperluan eksport?
Persoalan-persoalan tersebut berada dalam lingkungan sektor agro makanan dan selanjutnya
beliau membawa kepada persoalan lain iaitu kenapa kita mampu berada dalam kedudukan
pertama dalam industri kayu getah.
Beliau yang berasal dari Kedah, menjelaskan terdapat beberapa perkara yang mendukung
kejayaan Thailand dalam bidang pertanian.
Kegigihan petani Thailand mengusahakan dan
memasarkan hasil tanaman mereka sememangnya
diketahui ramai.
Pertama, ia berkaitan dengan tenaga kerja yang mana mereka komited, tidak ortodoks dan
menguasai teknologi baru.
''Kerajaan Thailand sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi pertanian
serta asas tani kepada golongan petani mereka'' ujarnya.
Perkara kedua berkaitan dengan sistem atau pendekatan pertanian di negara berkenaan.
Shazryl Eskay merujuk kepada sikap petani yang menganggap pertanian adalah satu industri.
Katanya, oleh kerana sumber tanah adalah terhad, petani mengeksploitasi setiap inci tanah
pertanian dan setiap pokok yang mereka tanam.
''Di Malaysia, kita memberi tumpuan kepada pokok sehektar demi sehektar berbanding
tumpuan kepada sepokok demi sepokok.
Setiap petani juga, katanya, diajar bahawa untuk berjaya dalam pertanian, amalan secara
holistik adalah penting kerana kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran bergantung kepada
pokok yang sihat.
Pokok yang sihat pula bergantung kepada tanah yang subur, manakala tanah yang subur
bergantung kepada kandungan atau sistem biodiversiti tanah seperti mikrob, cacing dan
hidupan lain dalam tanah.
Pada masa sama, kerajaan negara berkenaan juga meningkatkan infrastruktur pertanian
dengan menyediakan pusat pungutan dan pemprosesan hasil setiap daerah dan sistem silo
(simpanan bijirin).
Faktor ketiga yang beliau kongsi ialah penggunaan benih yang bermutu.
Katanya, klon benih memainkan peranan penting kerana yang menentukan sama ada kualitinya
baik seperti tahan lama, saiz sesuai, manis dan cantik.
Keseragaman klon juga penting dalam industri buah khususnya untuk pengetinan, selain kualiti
tahan penyakit.
Faktor keempat yang tidak kurang pentingnya ialah baja.
Menurut beliau, baja yang baik mengandungi nutrien yang lengkap untuk keperluan tanaman
dan tidak memudaratkan tanah serta mikroorganisme.
''(Kebanyakan) baja yang berada di pasaran kini tertumpu kepada keperluan tanaman sahaja,"
katanya.
Beliau mempersoalkan kenapakah pokok yang yang telah diberi baja masih mengalami
masalah seperti penyakit, tidak mengeluarkan getah dan buah tidak berkualiti,
Apa yang berlaku dakwanya ialah masalah 'defiseinsi nutrin' kerana pokok tidak mendapat
kuantiti dan baja yang diperlukan.
''Pokok perlu 16 jenis nutrien tapi yang dapat hanya baja N.P.K. sahaja sedangkan (nutrien)
yang lain diabaikan," katanya.
Katanya, negara berkenaan memanfaatkan baja untuk melakukan transformasi industri
pertanian dan nama baja yang digunakan ialah Silicon 23 iaitu sejenis baja mineral dan natural
dari negara berkenaan.
Faktor kelima ialah sistem pemasarannya yang mana ia melibatkan syarikat penerbangan Thai
Airways, amalan menggunakan koperasi pengangkutan dan pembungkusan yang berkualiti.
Oleh itu, katanya, faktor-faktor tersebut wajar diberi perhatian sekiranya industri pertanian
negara hendak ditransformasikan bersungguh-sungguh.
Beliau bagaimanapun berkata, sektor pertanian tempatan telah memperkenalkan banyak klon
benih dan baka untuk meningkatkan kualitinya.
Bagaimanapun, tanaman tersebut perlu nutrien yang lengkap dan berkesan untuk mencapai
sasaran pengeluarannya.
Shazryl Eskay menjelaskan, pembajaan penting kerana ia mampu menggantikan nutrien dan
melengkapkan apa yang kurang
Katanya, kadangkala berlaku kes yang mana tanaman masih bermasalah meskipun telah diberi
baja.
Kelapa sawit sebagai contoh merupakan jenis monoecious yang mampu menghasilkan bunga
betina atau jantan.
"Waktu pembentukan jantina adalah sangat penting bagi tanaman itu dan sekiranya berlaku
stres, penghasilan bunga betina terbantut," katanya.
Katanya, keadaan itu akan menyebabkan pembentukan bunga jantan yang antara lain
disebabkan tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap.
Tanaman yang tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap mengalami masalah
kekurangan zat. Ia disebabkan oleh dua faktor iaitu apabila tanaman tidak mendapat kuantiti
nutrien yang diperlukan dan tanaman tidak mendapat jenis nutrien yang diperlukan.
Kuantiti nutrien pula bergantung kepada jenis tanah sama ada berpasir tanah liat atau berasid.
Jika berpasir, baja akan hilang melalu proses larut resap dan jika tanah liat , baja akan hilang
menerusi proses pemeruwapan dan hilang apabila dalam proses larian permukaan semasa
hujan.
Pembajaan di tanah berasid pula akan menyebabkan fosfat terikat dan tidak dapat digunakan
oleh tanaman.
Justeru, waktu menabur baja penting bagi mengelakkan masalah tersebut.
Bagi jenis nutrien pula, beliau menjelaskan. tanaman memerlukan 16 jenis nutrien untuk proses
tumbesaran dan pengeluaran yang baik.
Nutrien yang sentiasa digantikan melalui proses pembajaan adalah NPK dan magnesium
sahaja.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar