Minggu, 19 Desember 2010

cara menanam timun

PANDUAN MENANAM MENTIMUN

PENANAMAN 
Penyediaan Tanah 

Di Ladang 
Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 22 cm (6 – 9 inci). 
Sediakan batas yang berukuran 1.2 m (4 kaki) lebar, 25 cm (10 inci) 
tinggi dan panjangnya mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas 
ialah 30 cm (1 kaki). Gaulkan 50 kg tahi ayam reput ke dalam tanah 
bagi kawasan 100 meter persegi. 

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain 
Gunakan tanah campuran yang mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian 
tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir. Isikan pasu dengan 
tanah campuran tersebut sehingga 5 cm (2 inci) dari permukaan pasu. 

Menanam 

Di Ladang 
Semai terus 2 biji benih selubang sedalam 2.5 cm (1 inci). Jarak 
tanaman ialah 60 cm (2 kaki) antara pokok dan 60 cm (2 kaki) antara 
baris. Sebanyak 15 gm benih diperlukan untuk untuk kawasan seluas 
100 meter persegi. Penjarangan dilakukan 10 hari selepas menanam. 
Tinggalkan sepokok selubang. 

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain 
Semai terus 2 biji benih ke dalam pasu sedalam 2.5 cm (1 inci). 
Tinggalkan sepokok sepasu 2 minggu selepas menanam. 

PENJAGAAN 

Sungkupan 

Di Ladang 
Rumput kering, jerami padi atau lalang kering perlu diletak di atas 
batas sebagai sungkupan. Ini bertujuan untuk menolong mengekalkan 
lembapan dan suhu tanah serta melambatkan pertumbuhan rumpai. 

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain 
Gunakan rumput-rumput kering sebagai sungkupan. 

Menyedia Junjung 

Di Ladang 
Kayu junjung dibuat daripada kayu hutan atau buluh. Untuk membuat 
penyokong, kayu-kayu junjung berukuran 2 m (6.5 kaki) panjang 
dipacak berhampiran dengan anak benih dan dicondongkan supaya 
bertentangan dan bertemu di atas batas. Kemudian sebatang kayu 
diletak melintang dan diikat untuk mendapatkan sokongan yang kuat. 

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain 
Gunakan kayu pancang berukuran 2 m (6.5 kaki). 

Menyiram 

Timun memerlukan lembapan yang cukup untuk hidup subur. Siram dua 
kali sehari iaitu pagi dan petang kecuali pada hari hujan. 

Membaja 

Di Ladang 
Gunakan baja NPK Blue Special (12:12:17:2) sebanyak 10 kg bagi 
kawasan seluas 100 meter persegi. Baja dibahagi kepada 3 kali 
pembajaan iaitu pada minggu ke 2, 4 dan 6 selepas menanam. 

Dalam Pasu dan Bekas Lain 
Tabur 1 sudu teh atau 5 gm baja NPK Blue Special (12:12:17:2) sepasu 
setiap minggu. 

Merumput 

Kawal rumpai sepanjang masa. Kerja merumput dilakukan dengan 
mencabut, mencangkul atau menajak. 

MEMUNGUT HASIL 

Di Ladang 
Mulalah memetik hasil 7 – 8 minggu selepas menanam. Buah dipetik 
apabila mencapai panjang lebih kurang 15 hingga 20 cm (6 – 8 inci). 
Kutipan hasil dibuat 2 hari sekali selama satu bulan. Hasil adalah 
dianggarkan 200 kg hingga 300 kg bagi 100 meter persegi kawasan. 
Dengan harga purata RM 1.00 sekilo, pendapatan kasar RM 200 hingga 
RM 300 boleh diperolehi. 

Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain 
Anggaran hasil ialah 1 kg sepokok. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar