Jumat, 07 Januari 2011

menanam jambu

PANDUAN MENANAM JAMBU
(Jambu Semarang, Jambu Air dan Jambu Batu)



1. JAMBU SEMARANG (JAMBU MADU)
Antara jambu yang sedang meningkat popular ialah jambu air mawar atau jambu semarang (syzygium samarangense). Dikalangan pengusaha, jambu ini dikenali sebagai "jambu madu". Terdapat sekurang-kurangnya empat jenis jambu semarang yang telah dibawa masuk dari Indonesia dan Thailand. Jambu semarang berasal dari Malaysia dan telah tersebar hingga ke Pulau Andaman. Pada masa ini banyak yang ditanam di Indonesia, Thailand dan Taiwan. Buahnya dimakan segar dan ternyata lebih bermutu daripada jambu air.
Ciri Pokok:
Pokok jambu semarang sederhana besar mencapai 12 m tinggi, bercabang rendah dengan sistem percabangan yang terbuka. Kulit batang berwarna kemerahan dan tanggal menjadi kepingan-kepingan halus. Daunnya licin di kedua-dua permukaan, berbentuk elips atau lanseolat. Pangkal daun tirus sedikit, urat daun kira-kira 12 pasang, melengkung ke dalam iaaitu kira 0.6 cm dari tepi daun. Daun bertangkai pendek, panjangnya hanya kira-kira 0.5 cm tetapi jelas. Jambak bunga berbentuk sima, dikeluarkan di hujung dan di celah-celah ranting berdaun yang kecil dan melentuk. Setiap jambak bunga mengandungi 3-6 kuntum bunga. Bunganya berwarna putih atau berkrim pucat dan tidak berbau.
Buah jambu semarang berbentuk panjang tetapi lebar di hujung, berukuran 3-8 cm panjang dan 5 cm lebar. Hujung buah berongga dan diliputi oleh empat cuping yang melengkung ke dalam. Kulit buah nipis, licin, berkilat dan berwarna hijau muda atau putih tetapi ada juga yang berwarna merah. Isinya berwarna kehijauan atau putih, agak kering dan rapuh. Rasanya manis dan kadang-kadang kelat sedikit. Jambu semarang tidak bermusim. Bagaimanapun, puncak pengeluaran buah ialah dua kali setahun, iaitu pada bulan Mei-Julai dan bulan Ogos-September.
Pembajaan:
Jambu semarang tumbuh dengan cepat dan kerap berbuah. Oleh itu, tanaman ini memerlukan pembajaan yang agak kerap dan teratur. Baja diberi pada peringkat pertumbuhan tampang dan selepas buah dipetik. Membaja sepanjang pembungaan dan pembentukan putik buah patut dielakkan. Selain baja kimia, baja organik sama ada tahi ayam, tahi arnab atau tahi lembu sesuai digunakan. Baja organik bukan sahaja membekalkan nutrien kepada pokok secara perlahan tetapi juga membaiki keadaan tanah. Satu beg (20 kg) baja organik hanya diletakkan di pangkal pokok setiap 6 bulan.
Cantasan:
Pokok jambu semarang perlu dibentuk dengan mencantas. Pada peringkat awal, cantasan dilakukan untuk membentuk kanopi yang seimbang, kukuh dan memudahkan buah dipetik. Cantasan awal dibuat apabila beberapa cabang utama terbentuk hampir pada aras tanah. Cabang-cabang dicantas hingga meninggalkan tiga cabang yang besar dan kukuh supaya memberi keseimbangan pada kanopi pokok. Cantasan seterusnya hanya membuang tunas-tunas air yang tumbuh tegak pada dahan dan cabang kecil. Ranting-ranting atau dahan berpenyakit juga perlu dibuang dari semasa ke semasa. (Sila lihat panduan mencantas/ pemangkasan pokok).
Kawalan musuh dan penyakit
Penyemburan racun serangga perlu untuk menentukan daun-daun sentiasa sihat dan tidak dimakan ulat. Ulat pemakan daun sering didapati ialah ulat beluncas kupu-kupu. Ia selalunya bersembunyi di sebalik daun pada waktu siang. Akan tetapi pada malam hari, ia memakan daun, tunas dan daun muda serta tunas bunga. Pokok perlu disembur dengan racun serangga sebaik-baiknya racun serangga jenis cypermethrin seminggu sekali atau malathion 2 minggu sekali. Penyemburan perlu dihentikan apabila tanaman sedang berbuah. Penyemburan yang akhir perlu dibuat pada peringkat putik bunga untuk memastikan tiada serangga bertelur pada bunga. Pada peringkat pembetukan dan pembesaran buah, putik-putik buah dibungkus untuk mengelakkan serangan serangga dan burung. Perosak yang paling bahaya ialah lalat buah.
Pengeluaran hasil:
Pokok jambu semarang cepat mengeluarkan hasil. Pokok daripada keratan mula berbunga dan buah 1 1/2 - 3 tahun selepas ditanam. Jenis hijau panjang mula berbunga 1 1/2 tahun selepas ditanam. Jenis merah besar 2 tahun manakala jenis tempatan 2 1/2 tahun selepas ditanam.
Hasil di peringkat awal rendah, dan tempoh 1 1/2 - 3 tahun ini boleh dianggap sebagai fasa peralihan dari fasa tampang ke fasa pembiakan. Pada tahun pertama, hasil buah hanya 3-5 kg/pokok. Hasil mula meningkat pada tahun kedua dan ketiga sehingga 10-20 kg dan mula stabil pada tahun keempat apabila hasil buah mencapai 50 kg. Pokok yang dijaga dengan sempurna boleh menghasilkan 100 kg buah sepokok, 4 tahun berikutnya.
Jambu perlu dibalut untuk mendapatkan buah yang bermutu tinggi. Masa yang paling sesuai untuk membalut buah ialah apabila kesemua kelopak bunga dan debunga telah gugur. Untuk mendapatkan buah yang besar, putik perlu dijarangkan sehingga 4-6 biji setangkai. Amalan ini juga akan mengelakkan keguguran buah yang banyak. Bahan pembalut plastik sesuai digunakan. Ia ditebuk lubang di bahagian bawah supaya air hujan tidak bertakung. Air yang berkumpul dalam plastik perlu dibuang dari semasa ke semasa untuk mengelakkan keadaan lembap dan pertumbuhan kulat. Kertas surat khabar boleh juga digunakan. Akan tetapi keadaan gelap akan menghilangkan warna buah dan kelihatan kurang menarik. (Sumber: Majalah Agromedia Bil. 5/1999).
Jambu Semarang (dari kamus wikipedia Indonesia)


2. JAMBU BATU (Psidium Guajava)

Nama saintifik : Psidium guajava, Linn.
Nama biasa : Biawas, Jambu Batu
Keluarga : Myrtaceae
Merupakan tanaman jangka panjang. Berasal dari tropika Amerika Selatan. Buah jambu mengandungi kandungan vitaman C 3 kali ganda lebih tinggi daripada buah oren, dua kali ganda lebih tinggi daripada buah betik dan sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada buah pisang. Kebanyakan vitamin C didapati di bahagian kulit dan mesokarpa buah. Secara amnya jenis buah yang berisi merah mengandungi vitamin C yang lebih tinggi berbanding buah yang berisi putih. Buah jambu batu mengandungi bebeapa jenis gula seperti fructose, D-gulose dan sucrose dimana kandungannya masing-masing adalah 3.4%, 2.8%, 0.3%. Kandungan gula didapati bertambah semakin buah membesar, dan akan diganti dengan sucrose apabila buah masak.
Kultivar yang disyorkan
Kultivar-kultivar yang disyorkan untuk penanaman komersil seelok-eloknya merangkumi semua ciri seperti berikut:-

i. saiz buah melebihi 7 cm garis pusat
ii. penghasilan yang tinggi dan konsisten
iii. aroma dan perasa yang baik
iv. isi yang manis hingga sedikit berasid
v. tekstur buah yang rapuh
vi. isi yang pejal
vii. sedikit atau tanpa biji
viii. isi berwarna merah jambu
ix. pokok rintang kepada musuh dan penyakit

KLON-KLON DAN CIRI-CIRI KULTIVAR YANG DISYORKAN:
10. GU 8
Varieti ini popular dengan nama Kampuchea. Berasal dari Kampuchea dan didaftarkan pada 30 Jun 1984. Jambu Kampuchea mengeluarkan buah yang besar (450-750 gm sebiji). Berbentuk bujur dan berwarna hijau muda kekuningan. Isinya putih, sederhana tebal dan rapuh. Rasanya masam manis dan mengandungi banyak biji.

11. GU 9
Jambu ini dikenali dengan nama 'Klom Toon Klao' berasal dari Thailand dan didaftarkan pada 30 Ogos 1985. Buah bersaiz sederhana hingga besar, berbentuk bujur, berbonggol pada hujung buah dan permukaan buah kasar. Kulit berwarna hijau muda. Isinya putih, rasanya manis dan rapuh. Kandungan biji adalah sedikit.

12. GU 10
Jambu bernama 'Klom Sali' berasal dari Thailand dan didaftarkan pada 30 Ogos 1985. Buah bersaiz sederhana besar (300-600 gm sebiji) dan berbentuk hampir-hampir bulat. Kulit berwarna hijau muda, isi berwarna putih, sederhana tebal, rapuh dan rasanya manis. Kandungan bijinya sederhana.

Faktor Iklim
Suhu tinggi (27-28oC) dengan taburan hujan yang tinggi dan seragam sebanyak 2,500 mm setahun didapati amat sesuai. Taburan hujan yang mencukupi akan memberi kesan yang baik kepada tumbesaran vegetatif pokok; manakala hujan yang lebat dan berpanjangan akan menjejaskan pengeluaran bunga dan pembetukan buah. Secara amnya, pokok jambu batu memerlukan tekanan kekurangan air yang singkat untuk merangsangkan berbunga.
Di Malaysia terdapat dua musim kering iaitu pada bulan Januari-Mac dan bulan Jun-Julai. Musim kering ini akan mempengaruhi penghasilan buah jambu batu. Pada musim kemarau, pengairan adalah mustahak untuk menjamin tumbesaran dan penghasilan yang baik. Faktor-faktor tanah dan kesesuaiannya adalah seperti berikut:-

Sifat Sesuai Sederhana Sesuai
Kecerunan
Saliran
Kedalaman tanah yg berkesan 0-12 darjah
Tak sempurna
>75 cm 12-20 darjah
Agak sangat salir
50-75 cm
Tekstur dan struktur Bertekstur lom berpasir atau halus dan berstruktur halus
ke sederhana. Berstruktur kasar dan lemah.
Kemasinan
Kedalaman lapisan asid sulfat
Ketebalan gambut
> 1 mmhos
> 75 cm
Tiada gambut
1-2 mhos
50-75 cm
< 25 cm

Keberbatuan < 25%, tersebar sama rata
atau terdapat di bawah kedalaman 75 cm 25-75%
Ketidak seimbangan nutrien Tiada kandungan nutrien
mikro yang berlebihan
atau CEC sederhana rendah. CEC sederhana rendah.
Penyediaan Tanah
Pembajakan sedalam 30 cm dijalankan sekali sahaja mengikut barisan yang hendak ditanam. Barisan digemburkan dengan pemutar. Bagi kawasan-kawasan yang mempunyai paras air yang tinggi, parit-parit ladang hendaklah dibina antara dua barisan pokok. Gerudi tanah berukuran 30 cm digunakan untuk membuat lubang sedalam 30 cm.
Penyediaan Benih Tanaman
Pembiakan boleh dijalankan sama ada melalui biji atau secara tampang. Kaedah pembiakan melalui biji tidak disyorkan kerana menimbulkan masalah ketulenan baka. Kaedah tut dan cantuman lebih diutamakan kerana tumbesarannya cepat.
Pembiakan Secara Tut
Pucuk muda yang sihat dan segar bersaiz 1-2 cm garis pusat dipilih. Kulit sekeliling batang pucuk selebar 2-3 cm dipotong dan ditanggalkan, disapu dengan ubat pengggalak akar dan ditutup dengan tanah. Pembalutan dibuat dengan plastik politena dan kedua-dua bahagiannya diikat. Akar akan keluar dalam masa 4-6 minggu. Bahagian bawah tut dipotong dan diubah ke dalam beg politena yang mengandungi tanah campuran (3:1:1) yang steril. Pokok tut sesuai diubah ke ladang dua ke tiga bulan kemudian. (Sila lihat panduan mengetut pokok).
Pembiakan Secara Cantuman
Cantuman dilakukan apabila pokok penanti berumur 3 bulan atau garis pusat batang pokok sebesar batang pensil. Kulit batang pokok selebar 1.0 x 3.0 cm dituris dan kulit ditanggalkan dari atas. Satu kepingan mata tunas daripada klon terpilih diselit masuk ke dalam tapak cantuman dan diikat dengan pita plastik. Pita plastik dibuka 3 minggu kemudian dan bagi cantuman yang berjaya, pokok penanti dicantas 4-5 cm di atas tapak cantuman untuk menggalakkan pemecahan dan tumbesaran tunas. Pokok cantuman berumur 2-3 bulan sesuai untuk diubah ke ladang. (Sila lihat panduan cantuman pokok dan juga pemangkasan pokok).
Penanaman di Ladang
Dilakukan pada awal musim hujan dan hanya pokok benih yang sihat dan segar sahaja digunakan. Sebanyak 5 kg baja organik, 100 gm baja fostat dan 250 gm kapur dicampurkan ke dalam lubang. Pokok benih dimasukkan dalam lubang, ditimbus dengan tanah dan kemudian dipadatkan sehingga menjadi busut kecil. Setiap anak pokok hendaklah diikat pada kayu sokongan berukuran satu meter tinggi dan diberi sungkupan. Penyiraman dilakukan setiap hari sekiranya tidak hujan. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 4m x 4 m dan jarak ini memberikan kepadatan sebanyak 625 pokok sehektar.
Pemangkasan
Pemangkasan merupakan satu operasi pengurusan yang penting. Ia dilakukan dengan beberapa tujuan seperti berikut:-

xiii. membentuk dan mengawal tumbesaran pokok
xiv. mengawal pengeluaran bunga
xv. memperbaiki sistem pengudaraan pokok
xvi. menambah kemasukan sinaran matahari
xvii. memudahkan kerja-kerja pengurusan
xviii. mengawal serangan musuh dan penyakit
Pemangkasan Pembentukan
Dilakukan pada peringkat awal tumbesaran pokok untuk mengwujudkan satu rangka pokok yang baik. Anak pokok tut yang mempunyai 2-3 dahan primer dicantas pada paras 0.5 meter panjang untuk mengelakkan pertumbuhan dahan-dahan sekunder. Pada setiap dahan primer, 3 atau 4 dahan sekunder yang seimbang dikekalkan untuk memberi rangka pokok. Bagi anak pokok cantum, batang utamanya dicantas pada paras 0.5 meter dengan tujuan menggalakkan pertumbuhan dahan-dahan sekunder. Dari 2-3 dahan sekunder dipilih, cantasan dilakukan sekali lagi pada paras 0.5 meter untuk menggalakkan pertumbuhan dahan-dahan tertier. Kekalkan 3 atau 4 dahan tertier pada setiap dahan sekunder. (Sila lihat panduan pemangkasan pokok!)
Pemangkasan Pengurusan
Dilakukan secara berterusan dengan tujuan menjaga kesuburan pokok. Dahan dan ranting-ranting yang bersilang, berpenyakit, mati, lemah dan yang tidak diperlukan hendaklah dicantas. Pemangkasan ini juga dilakukan untuk mengawal pertumbuhan vegetatif pokok dan secara tidak langsung mempengaruhi musim pembungaan. Selepas musim buah, ranting-ranting dahan tertier dicantas pada paras 25-30 cm untuk mengggalakkan pengeluaran pucuk-pucuk baru. Daripada pucuk-pucuk ini, bunga akan terbentuk pada celah-celah daun kedua hingga daun keempat. Hujung pucuk kemudian dipotong untuk mempercepatkan tumbesaran pokok. Untuk memudahkan kerja-kerja pengurusan, ketinggian pokok dikawal pada tahap ketinggian 1.8 meter. (Sila lihat panduan pemangkasan pokok!)
Pemangkasan Pemulihan
Dilakukan apabila pokok-pokok telah tua dan tidak lagi produktif. Ianya dilaksanakan dengan mencantas dahan-dahan tertier supaya digantikan dengan pucuk-pucuk yang baru. (Sila lihat panduan pemangkasan pokok!)
Pembajaan
Untuk menjamin tumbesaran pokok dan penghasilan yang optimum, pembajaan hendaklah dilakukan dengan cara yang berkesan pada kadar dan masa yang tepat berasaskan peringkat dan corak tumbesaran pokok.
Pengurusan Air
Keperluan air adalah faktor utama untuk meningkatkan pengeluaran hasil jambu batu dan tumbesaran pokok. Dengan adanya pengurusan air yang berkesan, pengeluaran hasil dapat dipertingkatkan dan kematian pokok terutamanya di peringkat awal pertumbuhan dapat dikurangkan.
Penjarangan dan Pembalutan Buah
Selepas musim buah dan selepas pemangkasan dibuat, bunga akan terbentuk pada celah-celah daun pucuk baru. Pada kebiasaannya terdapat 1-3 putik buah pada satu tangkal. Untuk memperolehi saiz buah yang besar, penjarangan putik buah digalakkan, iaitu dengan meninggakan hanya satu putik sahaja pada satu tangkai. Pembalutan buah dengan beg kertas merupakan satu amalan yang penting dalam pengurusan tanaman buah jambu batu. Selain daripada memberi perlindungan daripada serangan lalat buah, buah yang telah dibalut juga didapati lebih bersih dan menarik. Pembalutan dilakukan apabila buah mencapai saiz sebesar telur ayam.

KAWALAN PEROSAK JAMBU BATU DAN JAMBU AIR MADU :
• Nematod (Meloidogyne incognita)
Pokok-pokok yang diserang kelihatan tidak segar dan terbantut. Kanopi pokok menjadi jarang dan daun-daun menjadi kekuningan. Buah menjadi kecil, mencapai kematangan dalam masa yang singkat dan warnanya kelihatan pudar. Kulit batang tidak mengelupas. Pemeriksaan sistem akar menunjukkan akar menjadi bengkak dan berubah warna. Serangan yang teruk, menjadikan akar tunjang dan akar sisi akan kelihatan bengkak dan pecah-pecah. Tabur racun seperti carbofuran atau fenamiphos dan guna bahan tanaman yang bebas daripada nematod, khasnya dalam penyediaan anak benih dan tanah yang digunakan dalam beg potena perlu steril.

• Lalat Buah (Bactrocera dorsalis)
Larva mengorek ke dalam isi buah dan menyebabkan kerosakan. Kutip buah-buah yang kena serang dan tanam dalam tanah, balut buah-buah muda dengan beg kertas, sembur setempat dengan umpan protien seperti promar yang dicampur dengan malathion. Sembur 40 ml campuran promar pada tiap-tiap pokok dan ulangi semburan lima hari sekali dari peringkat berputik hingga buah dipetik. Perangkap lalat buah jantan dengan mengumpan dengan pemikat methyl eugenol.

• Kutu Trip (Selenothrips rubrocintus, Scirtothrips dorsalis)
Perosak ini biasanya merosakkan lapisan permukaan buah dan meninggalkan kesan calar dan bersinar. Serangan menjadi serius pada musim kemarau dan di kawasan yang baru ditanam. Semburan liputan secara menyeluruh perlu dilakukan apabila terdapat kesan serangan. Racun-racun seperti bendiocarb dan biomopropylate adalah berkesan.

• Kepinding Nyamuk (Helopeltis theobromae)
Serangan menyebabkan luka yang kecil, berwarna hitam dan bentuknya berubah mengikut masa. Serangan pada buah menyebabkan luka berlekuk ataupun keruping berkarat. Pucuk muda yang diserang akan menjadi layu dan mati. Lakukan pemangkasan dan sembur racun seperti deltamethrin dan cupermethrin.

• Koya-koya (Ferisiana virgata, Pseudococcus citriculus dan Planacoccus paciffus)
Serangga pada peringkat dewasa dan peringkat nimfa menghisap cairan pokok dan jika populasinya tinggi, pertumbuhan kulapuk hitam akan berlaku dan seterusnya mengurangkan mutu buah. Sembur campuran minyak putih dan racun serangga dan kawal semut yang memakan manisan dengan menyembur cypermethrin pada batang dan bahagian pangkal pokok.

• Bena Putih (Aleurotuberculatus canangae,
A. Cheracensis, A.psidii, A. dispersu, dialeurodes psidii)
Bena putih dewasa dan nimfa menghisap cairan pokok, khasnya dibawah permukaan daun dan mengeluarkan manisan yang mengakibatkan kulapuk hitam. Sembur dengan racun seperti deltamethrin dan permethrin .

• Ulat Pemakan Daun (Attacus atlas, Odenestis vita sp,
Spilonota sp, Strepsicrates spp.)
Ulat ini membuat sarang pada daun yang belum terbuka dan merosakkan daun dan pucuk muda. Sembur racun serangga seperti cypermethrin, permethrin dan trichlorphon sekiranya serangan serius. Semburan mingguan disyorkan untuk mencapai kawalan yang berkesan.

PENYAKIT DAN CARA KAWALANNYA :

• Penyakit Keruping Buah - Scab (Pestalotiopsis psdii)
Bermula dengan bintik-bintik kecil dan membesar menjadi tompok sebesar 1-3 mm, berbentuk bulat dan berwarna perang kehitaman. Apabila buah membesar, bahagian epidermis buah di sekeliling keruping akan terkoyak dan timbul manakala bahagian tengahnya menjadi lekuk. Gunakan racun kulat yang mengandungi kuprum atau zink.

• Reput Akar dan Pangkal (Phythophthora nicotianae)
Batang dan akar menjadi reput. Batang mengeluarkan damar, daun kekuningan dan gugur. Guna pokok peranti yang rintang. Kikis bahagian kulit dan sapu racun kulat seperti meta laxyl atau fosetyl aluminium dan guankan saliran yang baik.

• Penyakit Stylar - End Ring Rot (Phomopsis psidii Nag Raj & Ponnapa)
Bermula dengan bintik-bintik nektrorik di sebelah bawah buah kerana spora-spora dibawa turun oleh air hujan. Bintik-bintik menjadi hitam, membesar dan bercantum dengan melingkari buah hingga boleh merebak ke dalam buah dan ke bahagian biji. Sembur dengan racun kulat perlu dilakukan sebelum pembungkusan buah dijalankan. Amalkan pembersihan ladang untuk mengurangkan sumber penyakit dan kelembapan yang tinggi.
Kawalan Rumpai:
Kawal rumpai secara manual dengan menggunakan racun rumpai terutama di kawasan yang luas dan peringkat pokok di mana umur melebihi dua tahun di ladang. Semasa semburan dilakukan, tindakan berhati-hati perlu diambil supaya tidak terkena pada pokok jambu dan memberi kesan pada fitotoksik.
Indeks Kematangan Jambu Batu:

Indeks warna 1 : Keseluruhan buah hijau gelap
Indeks warna 2 : Buah berwarna hijau muda berkilat
Indeks warna 3 : Buah berwarna lebih hijau daripada kuning
Indeks warna 4 : 50% bahagian buah berwarna hijau dan 50% kuning
Indeks warna 5 : Buah berwarna lebih kuning daripada hijau
Indeks warna 6 : Keseluruhan buah berwarna kuning
Indeks warna 7 : Keseluruhan buah berwarna kuning oren





Pengutipan Hasil:
Pemetikan buah jambu batu dijalankan dengan menggunakan gunting secateaur. Tangkai buah digunting dan buah bersama kertas pembalutnya dimasukkan ke dalam baldi plastik. Apabila penuh, buah-buahan daripada baldi dimasukkan dalam bakul plastik yang besar. Bakul raga tidak disyorkan kerana berkemungkinan melukakan permukaan tanah.
Pengendalian Lepas Tuai:
Pengendalian di ladang
Suhu yang tinggi di ladang akan menyebabkan buah menjadi kecut kerana kehilangan air. Buah yang dipetik perlu disejukkan dengan kaedah samada membasahkan kertas pembalut buah, memetik buah pada waktu yang kurang panas, meletakkan buah di tempat yang redup, mewujudkan sistem penghantaran buah yang cekap dan memberi lindungan kepada buah semasa pembungkusan untuk operasi seterusnya.
Pengendalian di pusat pembungkusan
Pusat pembungkusan merupakan tempat khas di mana buah-buah dari ladang disediakan sebelum dipasarkan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuklah memilih, membasuh, merawat buah dengan racun kulat, mengering, membungkus dan penyimpanan. Pengendalian buah yang sebenar bergantung kepada tujuan pasaran, iaitu sama ada disediakan untuk pasaran tempatan atau pasaran eksport melalui udara atau melalui kapal.
Proses Pengendalian Lepas Tuai:
Memilih Buah
Kertas pembalut buah yang asal ditanggalkan. Buah yang elok dan tidak berpenyakit diasingkan untuk operasi seterusnya.
Membasuh buah
Buah dibasuh bersih dari segala kotoran.
Rawatan buah
Buah direndam dalam air yang mengandungi 200 ppm benomyl selama sepuluh minit. Proses ini diwajibkan untuk buah yang hendak diekport melalui kapal.
Mengering buah
Buah dikering di atas para atau rak.
Menggred Buah
Penggredan dilakukan berasaskan saiz, kesegaran, kebersihan dan rupa bentuk buah. Saiz buah yang melebihi 400 gm adalah adalah ditafsirkan sebagai besar, saiz sederhana diantara 350-399 gm dan saiz kecil diantara 300-349 gm.
Membungkus Buah
Buah harus dibungkus untuk memelihara kesegaran buah khasnya untuk tujuan eksport. Untuk perjalanan kapal, buah sesuai dibungkus dengan politena yang setebal 0.02-0.04 mm, manakala buah untuk perjalanan udara sesuai dibungkus dengan kertas. Kotak papan serabut berombak digunakan untuk mengisi buah yang telah dibungkus.
Penyimpanan Hasil
Buah boleh disimpan dalam suhu bilik atau di dalam bilik sejuk mengikut keperluannya. Untuk pasaran tempatan,. buah jambu batu boleh disimpan selama seminggu di bawah suhu bilik 26oC tanpa menjejaskan kualitinya. Untuk penyimpanan yang lebih lama, bilik sejuk perlu digunakan. Dibawah suhu 20oC, buah jambu batu boleh disimpan selama 9-10 hari. Di bawah suhu penyimpanan pada 5oC, jambu batu klon GU 8 dapat disimpan selama 2-3 minggu, manakala jenis yang tidak berbiji dapat disimpan selama 5 minggu.
Pengangkutan
Buah-buah yang dipetik akan dibawah ke pusat pembungkusan. Dari pusat-pusat pembungkusan buah-buahan yang telah dibungkus akan dibawa ke destinasinya.
Rantaian ke laman-laman Jambu Batu

• Jambu Batu (dari kamus Wikipedia)
• Jambu Biji / Jambu Batu
• Panduan menanam jambu batu (pdf)
• Khasiat Jambu Batu
• Khasiat air buah jambu biji (Indonesia)
• Guava (Wikipedia)


6. JAMBU AIR
(Sumber: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI 2005).

Masa penuaian jambu air biasanya dikira selepas buah dibungkus. Pembungkusan buah jambu air di ladang dibuat serentak dengan amalan penjarangan buah. Bilangan buah setangkai yang dibungkus bergantung pada gred buah yang dikehendaki. Umpamanya, bagi mendapatkan buah gred AA (saiz melebihi 4 inci panjang) untuk tujuan eksport, putik hendaklah ditinggalkan 3 biji sahaja bagi satu tangkai. Bagi tujuan pasaran tempatan, buah ditinggalkan antara 4-5 biji setangkai.
Buah jambu air dibungkus setelah putih buah brumur 3 minggu atau putik telah mencapai saiz sebesar ibu jari kaki. Putik buah perlu dibungkus dengan beg plastik khas yang saiznya 20 cm x 30 cm dan mempunyai 6 lubang di bahagian bawahnya. Buah jambu air akan masak selepas 20-25 hari dari tarikh buah dibungkus.
Tangkai buah dipotong menggunakan gunting atau sekateur. Buah akan dipetik bersama dengan beg pembungkusannya sekali. Ini dapat mengelakkan buah tercedera sewaktu dipungah dan diangkut ke tempat pengumpulan buah. Kebanyakan penanam menggunakan bakul plastik boleh guna semula untuk mengisi buah jambu air yang telah dipetik untuk diangkut ke tempat pengumpulan. Biasanya buah dipetik 3 kali seminggu. Kerja pemetikan dilakukan pada awal pagi sehingga tengah hari dan buah dibawa ke tempat pengumpulan untuk ditimbang dan digredkan. Buah biasanya diangkut ke pasaran pada sebelah petang oleh pemborong.
Buah jambu air sangat mudah tercedera. Oleh itu pengendalian buah termasuk penuaian, pengisian buah ke dalam bekas, mengangkut, menimbang, menggred dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan secermat mungkin. Penggunaan bekas pengisi juga perlu diambil kira kerana bekas yang mempunyai tepian yang tajam akan mencederakan buah.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar